Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) hari ini membuat kejutan apabila menyingkirkan jurulatih Bos Gaurus, Karl-Heinz Weigang, untuk digantikan dengan bekas pengendali Selangor, Mehmet Durakovic.

Nadi Arena pada Ahad lalu melaporkan kedudukan Weigang goyah walaupun berjaya memastikan skuadnya menumpaskan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), 2-1 di Ipoh.

Ia susulan dikatakan wujud rasa tidak puas hati pemain terhadap pendekatan bimbingan pengendali dari Jerman itu selain kelantangannya dalam melontarkan kritikan terhadap pengurusan pasukan berkenaan.

Perkhabaran itu menjadi kenyataan apabila PAFA mengesahkan kontrak Weigang ditamatkan menerusi persetujuan bersama berkuatkuasa serta-merta hari ini.

"Keputusan tersebut dicapai setelah kedua-dua pihak mengadakan perbincangan panjang lebar dan setelah meneliti pelbagai aspek dan cadangan.

"PAFA sangat menghormati dan menghargai Weigang yang telah memberi perkhidmatan dan sumbangan yang luar biasa kepada pasukan. Beliau turut dinobatkan sebagai jurulatih legenda Bos Gaurus," kata PAFA dalam satu kenyataan.

Pun begitu, kehadiran Durakovic yang membantu Selangor mencapai 'Misi 33' menjulang Piala Malaysia dua musim lalu, tampak mampu memberi impak berbeza kepada skuad Perak untuk mengharungi aksi seterusnya.

"PAFA telah melantik Durakovic sebagai ketua jurulatih yang baru buat Bos Gaurus berkuatkuasa 22 Februari 2017. Keputusan melantik Durakovic dibuat setelah PAFA meneliti beberapa calon jurulatih tempatan dan asing."

Pastinya prestasi Perak akan menjadi tumpuan ramai Sabtu ini apabila mereka berdepan Felda United dalam perlawanan Liga Super di Jengka.