PERAK 3 PAHANG 0
(Perak mara dengan agregat 4-3)

Perak melakukan kebangkitan dramatik apabila membenam juara bertahan, Pahang, 3-0 dalam perlawanan peringkat kedua separuh akhir di Stadium Perak sebentar tadi untuk mara ke final Piala FA 2019.


Memerlukan kemenangan dengan dua gol tanpa balas, anak buah Mehmet Durakovic itu melakukan magis dengan menyumbat tiga gol dalam separuh masa pertama untuk memadamkan kemenangan 3-1 Pahang dalam perlawanan pertama di Kuantan, Sabtu lalu.

Di hadapan kira-kira 20,000 penonton, Shahrul Saad dan rakan-rakan bermain seperti dirasuk dengan persembahan bertenaga.

Jangkaan Pahang akan mampu melepasi tuan rumah meleset apabila setiap pemain Perak ternyata turun dengan azam menamatkan penantian 14 tahun gagal ke pentas final Piala FA.

Apapun, pasukan tuan rumah sejak mula menunjukkan kesungguhan dengan menyerbu garang ke kubu lawan tetapi Raianderson Da Costa Morais atau Careca sekadar menyaksikan rembatannya tersasar pada minit ke-14.

Sepuluh minit kemudian, Shahrul pula menanduk tepat ke dakapan penjaga gol, Helmi Eliza Elias, ketika Pahang dilihat lebih banyak bertahan untuk melindungi kelebihan dua golnya.

Begitupun, Brendan Gan menggamatkan stadium dengan menanduk masuk sepakan sudut Firdaus Saiyadi untuk pendahuluan 1-0 pada minit ke-35.

J. Partiban yang sentiasa menjadi duri dalam daging kepada benteng pelawat menjadikan kedudukan 2-0 dengan merembat masuk bola umpanan Careca tujuh minit kemudian.

Serta-merta tugas yang sebelumnya dilihat terlalu sukar, sudahpun diatasi dengan Perak kembali mengikat agregat 3-3.

Nasib malang Pahang berterusan apabila Mohd Faisal Rosli tertendang bola silangan Nor Hakim Hassan ke dalam gol sendiri dua minit sebelum rehat untuk juara Piala Malaysia 2018 itu selesa berkelebihan 3-0.

Walaupun pelawat cuba bangkit dalam babak kedua, tidak ada banyak yang mampu dilakukan mereka untuk menyelamatkan Tok Gajah daripada dilucutkan gelaran juara bertahan.

Perak akan menanti pemenang satu lagi pertemuan separuh akhir Felda United-Kedah, untuk perebutan juara dalam perlawanan akhir 27 Julai ini.

"Saya dah berpesan kepada pemain-pemain saya bahawa kita bermain bukan untuk bertahan," kata jurulatih Pahang, Dollah Salleh.

"Tapi mereka masih terikut-ikut untuk mempertahankan kelebihan (daripada perlawanan pertama minggu lalu). Di situlah kesilapan kami.

"Apabila ketinggalan 3-0 (dalam separuh masa pertama), susahlah nak bangkit lagi," tambahnya.

Durakovic pula menghamburkan pujian kepada anak-anak buahnya yang telah memberikan 100 peratus untuk menterbalikkan kedudukan.

"Mereka (pemain-pemain Perak) telah memberikan segala-gala yang mereka ada malam ini.

"Saya berasa amat gembira buat mereka dan juga penyokong Perak yang ternyata hebat membantu kami.

"Pahang adalah pasukan yang bagus dengan pemain import dan tempatan yang bagus, begitu juga tenaga kejurulatihannya. Tapi saya bersyukur kemenangan memihak kami."