Kapten Perak, Shahrom Kalam, berharap tempoh rehat tiga minggu dapat dimanfaatkan The Bos Gaurus untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan pengendali, Mehmet Durakovic, selepas terkandas dalam pusingan ketiga Piala FA, malam tadi.

Pandangan Shahrom itu disuarakan selepas Perak tewas 2-0 di tangan Kedah dalam pusingan ketiga Piala FA.

Itu merupakan perlawanan ketiga buat Durakovic sejak mengambil alih pasukan berpangkalan di Ipoh itu.

Nyata dia berasakan seluruh pemain masih memerlukan masa untuk memahami pendekatan Durakovic bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

"Kami perlu gunakan masa cuti yang ada bagi memperbaiki segala kekurangan.

"Pemain masih dalam proses menyesuaikan diri dengan cara jurulatih," kata Shahrom.

Sementara itu, pertahanan import Kedah, Zachary Anderson, mengakui mereka berdepan cabaran mengekalkan rentak konsisten musim ini.

Kehadiran pemain berusia 25 tahun ini banyak membantu mengukuhkan lagi benteng skuad Lang Merah musim ini.

Malah, dia juga mampu menjadi sandaran dalam situasi bola mati seperti yang dilakukannya berdepan Perak.

Menanti Kedah dalam suku akhir adalah satu lagi wakil Perak, PKNP FC.

"Penting untuk kami merehatkan mental dan fizikal selepas menempuh aksi yang sibuk bagi menghadapi separuh kedua musim ini," katanya.