PERAK 3 SELANGOR 0

Perak memperagakan aksi garang dengan menemui tiga gol pada separuh masa pertama untuk menjinakkan Selangor 3-0 dalam Liga Super di Stadium TLDM, Lumut, malam ini.


Skuad The Bos Gaurus banyak mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan menguasai permainan, dengan memperoleh beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol seawal 15 minit pertama.

Dan seperti yang dijangka, Perak mendahului perlawanan selepas lontaran ke dalam daripada kapten pasukan, Nasir Basharuddin, tertampan pemain lawan, Mohamad Ashmawi Md Yakin, pada minit ke-20.

Selangor menunjukkan penguasaan yang baik setelah tersentak dengan jaringan itu, dengan Amri Yahyah banyak mengatur gerakan ke arah kubu tuan rumah.

Bagaimanapun, kelemahan benteng pertahanan mereka membawa padah apabila serangan balas Perak menemui hasil, Wander Luis membuat umpanan untuk disudahkan D. Kenny Pallraj pada minit ke-45.

Tidak cukup dengan itu, Gilmar Jose da Silva Filho pula menjaringkan gol selepas pemain kelahiran Brazil itu mengelirukan pertahanan pelawat untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Selepas ketinggalan tiga gol, jurulatih pelawat, P. Maniam, membuat pertukaran penjaga gol dalam separuh masa kedua dengan memasukkan Norazlan Razali untuk menggantikan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Selangor akhirnya berjaya membuat percubaan tepat menerusi Amri, namun mujur Nazirul Naim Che Hashim yang berada di garisan gol berjaya menampan keluar.

Perak kemudian membuat serangan balas sebelum Filho membuat lorongan menarik, bagaimanapun Mohd Nazrin Mohd Nawi terlalu laju untuk menyambar bola tersebut.

Selepas itu, Selangor terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Willian Pacheco meraih kad kuning kedua selepas merempuh Nasir hampir di kawasan penalti.

Filho, yang mengambil sepakan percuma itu, gagal menterjemahkannya kepada gol, sekali gus mengekalkan kedudukan 3-0 sehingga tiupan wisel penamat.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan malam ini, Melaka United memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk menewaskan PKNP FC 2-0.