Tempoh lanjutan pendaftaran pertama pemain Liga Malaysia 2021 memberi nyawa kedua buat Perak II apabila pihak pengurusan Perak FC membatalkan hasrat untuk membubarkan pasukan sokongan itu, sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Syamsul Saad berkenaan kekal bersaing dalam Liga Perdana musim ini.

Perkara itu disahkan sendiri Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.

"Memang ada sedikit peratusan untuk kami (Perak II) akhirnya menarik diri. Itu sebenarnya adalah langkah yang paling akhir," kata Khairul Shahril.

"Tetapi setelah kami memperimbangkan kesemua pandangan dan selepas kami menyelesaikan beberapa perkara asas berikutan transaksi pengurusan ini, kami telah mengambil keputusan untuk meneruskan penyertaan Perak II dalam Liga Perdana musim ini."

Ditanya mengenai perancangan pasukan itu sama ada akan mengambil pemain import atau tidak, dia menambah: "Saya mengikuti rapat perkembangan Perak II, yang dulunya PKNP FC. Apa yang saya lihat, sebenarnya ia agak lari dengan objektif asal Perak II kerana sebelum ini, Perak II sepatutnya menjadi pasukan sokongan bagi pembangunan pemain-pemain muda.

"Jadi, kemungkinan besar kami tidak akan melibatkan pemain import."