Tersenyum ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, apabila pasukan kendaliannya berjaya mencuri satu mata apabila dihadiahkan sepakan penalti di penghujung masa tambahan (90+5) ketika bertemu T-Team dalam saingan Liga Super di Ipoh, malam tadi.

Keputusan seri 2-2 membolehkan Mehmet menarik nafas lega tetapi tidak kepada kepada rakan sejawatannya, Rachmat Darmawan dari T-Team.

Kata Rachmat, "Keputusan itu di antara pengadil dan Tuhan. Saya akur sahaja".

Sementara itu, Mehmet mengakui Perak agak tidak bermaya, terutama dalam separuh masa kedua.

"25 minit yang pertama bagus tetapi apabila mendahului 1-0, Perak hilang rentak. Macam saya kata, bila tidak ambil peluang untuk menjaringkan gol, perkara sebaliknya boleh berlaku.

"Dua gol mudah T-Team dalam separuh masa kedua menghukum Perak. Memang kecewa tetapi saya lega bila pemain tidak patah semangat dan berjuang. Kami berjaya mengutip satu mata malam ini", ujar Mehmet.

Ketua pasukan Perak, Mohd Shahrom Abd Kalam, turut hampa dengan penampilan kali ini.

"Sepatutnya kami dapat keputusan positif bila bermain di tempat sendiri. Bukan masalah rehat panjang sebab pasukan lawan pun sama. Apapun masalah ini perlu diperbaiki", ujarnya.