Perak buru kemenangan pertama

Azizan Hashim
Februari 23, 2019 04:00 MYT
Pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berharap pemain The Bos Gaurus mengusahakan kejayaan apabila turun melayani Felda United malam ini dalam usaha merapatkan jurang dengan pasukan di atasnya.
Selepas dua perlawanan Liga Super, Perak baru meraih satu mata hasil seri 1-1 dengan Kedah.
"Saya mahu pemain kembali fokus kepada perjuangan dalam Liga Super selepas tamat misi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).
"Walaupun kempen ACL berakhir dengan kekalahan besar kepada kelab gergasi Liga K, Ulsan Hyundai, lupakan kekalahan itu.
"Memang kita belum cukup bagus di peringkat antarabangsa.
"Saya berharap pemain buktikan mereka masih yang terbaik di peringkat domestik," kata Adly.
Pengurus itu, bagaimanapun, berkata Perak menghadapi masalah kecederaan serta kesihatan pemain.
"Beberapa pemain tercedera manakala ada yang demam dan batuk-batuk sekembali dari Incheon (Korea Selatan) kerana perubahan cuaca.
"Cuaca di Korea memang sejuk ketika ini manakala kita di sini panas," katanya.
Namun, beliau yakin ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, akan menyusun dan mencatur strategi berkesan untuk perlawanan malam ini.