Perak hanya memberikan cuti tiga hari kepada pemain The Bos Gaurus sempena sambutan Aidilfitri esok.

Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata tempoh itu mencukupi buat pemain meraikan hari lebaran bersama sanak-saudara serta rakan-taulan.

"Cukuplah tiga hari cuti. Tak boleh lama sangat kerana kami mempunyai perlawanan penting pada 14 Jun ini dengan bertemu PJ City di tempat lawan.

"Malah, bukan perlawanan itu saja penting tetapi kesemua baki tujuh perlawanan adalah penting kerana semua pasukan akan membuat pecutan ke garisan penamat," katanya.

Menurut Adly, Perak menduduki kedudukan kurang memberangsangkan di tangga kelapan ketika ini.

"Ia bukan kedudukan yang sepatutnya kerana kami sepatutnya berada dalam kelompok lima teratas," ujarnya.

Adly yakin semangat pemain ketika ini tinggi, terutama berikutan penyerahan surat pemberian tanah lot rumah susulan kejayaan muncul juara Piala Malaysia 2018 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, baru-baru ini.

"Semangat pemain berjaya disuntik dengan keprihatinan presiden PAFA itu," katanya.

Oleh yang demikian, pengurus Perak itu berharap agar pemain akan mengusahakan kejayaan dalam baki tujuh perlawanan bagi mengukuhkan kedudukan pasukan itu.

"Peluang menempatkan diri dalam kelompok atasan Liga Super tetap ada dengan syarat kami kutip banyak mata dalam baki tujuh perlawanan nanti," ujarnya.