PERAK 3 SARAWAK 1

Perak bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Sarawak 3-1 bagi memastikan kemaraan ke pusingan ketiga Piala FA di Stadium TLDM, Lumut, malam ini.


Tuan rumah dikejutkan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Mateo Roskam yang merembat ke arah penjuru atas gawang.

Bagaimanapun, skuad The Bos Gaurus dihadiahkan sepakan penalti lapan minit kemudian apabila Mohammad Sabre Mat Abu dipersalahkan kerana menjatuhkan pemain lawan sebelum ia disudahkan Wander Luiz.

Pelawat sedikit tenggelam ketika skuad Mehmet Durakovic itu terus mendapat suntikan semangat sehingga menghadirkan beberapa peluang keemasan.

Pada minit ke-39, Gilmar Jose da Silva Filho berjaya meloloskan diri daripada benteng dan hanya berdepan penjaga gol Sarawak, Mohd Firdaus Muhammad.

Dia pada ketika itu sempat menjolok bola untuk menuju ke gawang sebelum dijatuhkan Firdaus, sekali gus membawa Perak di depan 2-1.

Perak lebih yakin bermain dalam separuh masa kedua dengan banyak melakukan gerakan berbahaya di depan gol pelawat.

Usaha tuan rumah terus membuahkan hasil selepas Gilmar menambah jaringan kedua peribadinya menerusi tandukan pada minit ke-84 untuk melengkapkan kemenangan Perak 3-1.

Durakovic kemudian merehatkan tonggak kelahiran Brazil itu pada hujung perlawanan untuk memberi peluang kepada Mohd Nizad Ayub bersama pasukan meneruskan baki permainan.

Keputusan lain:

Felcra FC 2 Felda United 5
Kuala Lumpur 4 Kuching FA 0
Sabah 1 JDT 2
PJ Rangers 0 Terengganu FC 4
Shahzan Muda 1 PKNP FC 2