Kemelut skuad Perak dalam kancah Liga Super sampai ke kemuncak apabila pengendalinya, Choong Yee Fatt, direhatkan selama dua minggu.

Peranannya akan digantikan oleh Shahril Nizam Khalil yang diberi mandat untuk membawa cabaran pasukan dalam baki aksi liga.

Situasi tidak menentu The Bos Gaurus turut menarik minat pemain berpengalaman, Khalid Jamlus, yang sudi menabur bakti tanpa bayaran demi memastikan pasukan kedua tercorot itu kekal dalam saingan tertinggi musim depan.

Sebaik kekalahan 0-5 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu lalu, pengurusan berpandangan Perak memerlukan perubahan drastik.

Ia membawa kepada keputusan untuk merehatkan Yee Fatt selama dua minggu sebelum keputusan akhir dibuat, iaitu sama ada jawatannya akan kekal sebagai ketua jurulatih atau sebaliknya.

"Kami ambil maklum perkara ini selepas melihat prestasinya dan mengambil keputusan untuk merehatnya selama dua minggu.

"Kami akan tengok kedudukan syarat MFL (Liga Bolasepak Malaysia) berkenaan pelantikan ketua jurulatih kerana merehatkannya selama dua minggu sahaja.

"Pemangku jurulatih diserahkan kepada Shahril untuk melatih pasukan bagi mengharungi enam perlawanan akan datang," kata Azman Noh yang dinamakan sebagai pengurus hari ini.





Dalam masa yang sama, juara Piala Malaysia 2019 itu sedang berunding dengan dua tonggak import mereka iaitu Careca dan Leandro Dos Santos agar kekal serta menarik semula laporan yang telah dibuat kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Perbincangan masih dibuat tetapi bergantung kepada ejen mereka, sama ada dapat menyelesaikan dalam masa terdekat atau tidak."