MOLDE 0 ARSENAL 3

Mikel Arteta cukup gembira dengan persembahan Nicolas Pepe ketika Arsenal membenam Molde 3-0 dalam Liga Europa.


Pepe mencetuskan kemarahan The Gunners apabila mengutip kad merah atas kekasaran menanduk Ezgjan Alioski ketika buntu tanpa jaringan dengan Leeds United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.

Penyerang Ivory Coast itu diberi kesempatan untuk menebus kesilapannya, awal pagi tadi, dan dia memanfaatkannya dengan menghasilkan gol pembukaan di Norway untuk mereka menempah tempat ke pusingan 32.

Reiss Nelson menggandakan kedudukan itu sebelum Folarin Balogun menyumbat gol pertamanya bersama Arsenal untuk memuktamadkan kejayaan mereka.



Satu percubaan Pepe juga menggegar palang gol dalam enam percubaannya selain menghasilkan empat peluang berharga.

"Saya sangat gembira," kata Arteta mengenai Pepe.

"Jelas sekali selepas dilanda kekecewaan, sesuatu yang negatif, anda ingin melihat reaksi dan kebangkitan dengan segera.

"Melalui bahasa badannya, saya dari minit pertama lagi boleh menghidu bahawa dia sudah bersedia untuk bertindak balas. Dia memperagakan persembahan yang memukau.

"Dia menyumbat gol, sepatutnya mungkin boleh menghasilkan satu atau dua gol lagi. Dia mencipta beberapa saat yang hebat dalam permainan ini dan bekerja sangat keras demi pasukan. Saya sangat menyenanginya. Saya sangat gembira dengan usahanya.

"Kita semua tahu kemampuan sebenarnya cuma persoalannya, bilakah dia mampu mencapai tahap itu selain bagaimana dia boleh menyumbang kepada aspek lain.

"Itulah tahap yang perlu dilaluinya dan daripada sana dia perlu terus meningkat kerana dia mampu melakukannya dan boleh dilihat apabila dia berada di kubu lawan, dia mampu menjadi ancaman dan pemain yang sangat sukar rantai.

"Dia boleh melakukan sepakan deras, menyusup ke dalam kotak penalti, melakukan percubaan atau membuat hantaran silang. Dia juga boleh berlari kencang. Itulah yang kami harapkan daripadanya."