"Maruah pasukan dirobek dan keharmonian pasukan terjejas ."

Demikian luahan penyokong Penang yang mahu suara mereka didengari pengurusan tertinggi selepas kelab itu menamatkan cabaran Piala Malaysia lebih awal dengan menempa kekalahan keempat, malam tadi.

Mereka kini menduduki tangga tercorot dalam Kumpulan A yang turut dihuni Sarawak United dan Sri Pahang.

Lebih parah, Harimau Kumbang dibolosi 14 gol sementara sekadar meledak dua gol sepanjang lima perlawanan -- situasi itu membuatkan posisi Tomas Trucha semakin goyah.

Ia sememangnya saat sukar buat Penang selepas mengharungi musim cemerlang apabila muncul pasukan ketiga terbaik Liga Super.

Namun, prestasi itu bersifat sementara selepas Haria Penang Haria bergelut dalam Piala Malaysia dan yang terbaru tunduk 0-1 kepada Kuala Lumpur City.

Justeru, penyokong mula meragui kemampuan pakar taktikal dari Republik Czech itu.

"Lama-lama peminat mula nampak sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam pasukan ini.

"Selepas itu berlakunya konspirasi pasukan dalam pasukan, pengurusan perlu pandang berat perkara ini," kata seorang wakil penyokong Penang yang ditemui di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.




Di sebalik rentetan aksi longlai, Trucha mempunyai jawapan terhadap masalah yang membelenggu pasukannya sambil optimis untuk mengekalkan jawatannya.

"Sebelum kempen Piala Malaysia bermula lagi, saya sudah menjelaskan sesetengah pemain telah berhempas-pulas dalam liga hingga tercedera.

"Mereka belum pulih. Apapun, penyokong adalah sebahagian daripada sukan ini.

"Adalah menjadi motivasi kami untuk berjuang demi mereka. Tidak perlu pihak pengurusan mengingatkan saya tentang situasi ketika ini.

"Saya masih mempunyai kontrak dengan kelab ini dan sedia membentuk pasukan musim depan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.