Pemain tengah England, Jordan Henderson, menggesa penyokong dan media untuk meletakkan keyakinan terhadap Raheem Sterling selepas dia bergelut dalam aksi pembukaan Piala Dunia berdepan Tunisia.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu meraih kemenangan 2-1 di Volgograd tetapi ia adalah aksi yang mengecewakan buat Sterling, yang gagal memberikan impak sebelum digantikan oleh Marcus Rashford.

Terdapat desas-desus bahawa pemain sayap Manchester City itu mungkin direhatkan bagi perlawanan kedua England berdepan Panama, dengan Rashford bakal menyertai kesebelasan utama.

Bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Henderson, berkata kepada semua pihak supaya tidak terbawa-bawa dengan prestasi pemain berusia 23 tahun itu ketika berdepan Tunisia.

"Saya tidak berasakan perlu ada bising-bising mengenai prestasi Sterling," kata Henderson.

"Saya mungkin akan terkejut mengenai perkara ini tetapi ia tidak akan menggugat Sterling. Dia sudah lali dengan kritikan dan menanganinya dengan baik.

"Sterling beraksi cemerlang bersama City, menjaringkan 20 gol dan semua orang harus meletakkan keyakinan kepadanya."