Liga Bolasepak Malayisa (MFL) menegaskan Kuala Lumpur (KL) City boleh disingkirkan daripada kejohanan berikutan insiden penyokong menceroboh masuk ke dalam padang Stadium KLFA, malam tadi.

Barisan bimbingan Bojan Hodak itu berdepan penyingkiran sekiranya terdapat kes positif COVID-19 yang menyebabkan keseluruhan individu dalam pasukan itu diarahkan untuk menjalani proses kuarantin.

Untuk rekod, MFL masih tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat susulan kes pandemik yang masih belum reda ketika ini.

"Peraturan sudah ada seperti yang berlaku terhadap Negeri Sembilan.

"Jika sesebuah pasukan tidak dapat turun dalam perlawanan yang ditetapkan maka pihak lawan akan diberikan kemenangan 3-0.

"Antara hukuman yang boleh dikenakan ialah pasukan berdepan perlawanan di stadium tertutup atau penonton di stadium buat tuan rumah dikurangkan.

"Terpulang kepada ahli lembaga pengarah MFL untuk mengambil keputusan yang sewajarnya memandangkan status semasa liga yang akan berakhir dan kepentingan memastikan SOP Liga Malaysia dipatuhi," kata Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam.

KL City mara ke separuh akhir sejak 1992 dengan menyingkirkan musuh Lembah Klang, Selangor, dengan agregat 3-0 apabila menang 1-0 di Cheras malam tadi.