Pengendali Sepanyol, Julen Lopetegui, mengakui bahawa amat perit untuknya mengeluarkan Alvaro Morata daripada skuad Piala Dunia.

Penyerang Chelsea itu tidak berjaya meletakkan diri dalam senarai 23 pemain untuk aksi di Russia selepas diumumkan semalam.

Morata menjaringkan lima gol ketika membantu Sepanyol di peringkat kelayakan tetapi dia bergelut dengan prestasi serta kecergasan bersama Chelsea musim ini, membuatkannya terpaksa bertarung untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan.

Lopetegui melihatnya sebagai satu keputusan yang sukar tetapi dia tidak mahu membawa empat pemain untuk beraksi di posisi penyerang utama, sekali gus menjadikan Diego Costa, Rodrigo Moreno dan Iago Aspas sebagai pilihan.

"Ia adalah detik sukar untuk memilih pemain. Morata sebenarnya berhak untuk berada di sini.

"Saya memiliki pendapat yang penting dan amat perit walaupun saya telah membuat keputusan.

"Kami telah meletakkan tiga pemain dalam satu posisi dan jumlah empat bukanlah sesuatu yang kami mahukan. Ia adalah satu keputusan dalam bola sepak," ujar Lopetegui.

"Sesuatu yang memedihkan apabila terpaksa menyingkirkan seseorang. Mereka layak berada di sini tetapi tidak dapat melakukannya walaupun telah membantu kami.

"Aspas mampu beraksi di bahagian penyerang tengah dan tepi, Rodrigo boleh bermain di tiga bahagian dan Costa sentiasa memberikan persaingan yang sengit," tambahnya.