Ferran Torres mengalami retak tulang kaki kanan dan dilaporkan perlu berehat sekurang-kurangnya selama enam minggu walaupun Manchester City tidak memberikan maklumat mengenai tempoh sebenar yang diperlukan dalam memulihkan penyerang mereka itu.

Pemain berusia 21 tahun berkenaan mengalami kecederaan itu ketika Sepanyol menewaskan Itali 2-1 dalam separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL) tetapi masih bermain dalam kesakitan selama 84 minit aksi final sebelum tewas 1-2 kepada Perancis.

Bagaimanapun, ujian imbasan ke atas kaki Torres sebaik pulang ke Manchester mendapati terdapat keretakan kecil yang berkemungkinan besar akan menghalangnya daripada beraksi sehingga penghujung bulan depan.

Pemain Sepanyol itu kelihatan akan terlepas sekurang-kurangnya tujuh perlawanan buat City, termasuk 'derby' Manchester di Old Trafford pada 6 November ini.

Dia juga dijangka akan terlepas dua perlawanan penting Sepanyol dalam kempen kelayakan Piala Dunia menentang Greece dan Sweden sepanjang tempoh itu.

Skuad kendalian Luis Enrique berkenaan kini ketinggalan dua mata di belakang Sweden untuk menduduki tangga kedua Kumpulan B.