CURACAO 0 MEXICO 2

Mexico menjamin tempat teratas dalam Kumpulan C, Piala Emas CONCACAF selepas kemenangan 2-0 ke atas Curacao, hari ini.

Angel Sepulveda menjaringkan gol menerusi tandukan pada separuh masa pertama dan Edson Alvarez memastikan kemenangan lewat di Alamodome di San Antonio, Texas, ketika juara bertahan itu berusaha keras.

Penjaga gol, Jose Corona, banyak menyalamatkan situasi bahaya apabila Curacao -- yang menamatkan kejohanan tanpa sebarang mata -- kerap mengancam kubu mereka.

Dengan jurulatih Juan Carlos Osorio yang digantung, aksi Mexico masih belum berkesan di Amerika Syarikat, dan mereka akan mencari peningkatan dalam perlawanan suku akhir menentang Honduras, Jumaat ini.

Mexico sekali lagi berubah, dengan Orbelin Pineda menjadi satu-satunya pemain yang kekal di posisinya daripada skuad utama yang seri 0-0 dengan Jamaica.

Turun selepas tewas 2-0 kepada El Salvador, Curacao membuat lima perubahan dengan Shanon Carmelia, Ayrton Statie, Michael Maria, Quenten Martinus dan Gino van Kessel menggantikan Quentin Jakoba, Gillian Justiana, Jurien Gaari, Rangelo Janga dan Elson Hooi.

Curacao memulakan perlawanan dengan sangat baik, memberi tekanan kepada Mexico yang kelihatan kurang tajam di peringkat awal.

Skuad kerdil itu hampir menterjemahkan dominasi mereka pada minit ke-14 tetapi Corona menafikan percubaan Van Kessel dengan tangan kanan.

Mexico membuka jaringan pada pertengahan babak pertama apabila Sepulveda menanduk ke arah sudut bawah gol selepas menerima hantaran lintang Raul Lopez.

Gol itu seolah-olah memberi rentak kepada Mexico, yang hampir menambah jaringan menerusi Martin Barragan dan Erick Gutierrez.

Bagaimanapun, sekali lagi Curacao yang memulakan separuh masa kedua dengan cemerlang apabila Leandro Bacuna menggegarkan palang menerusi tandukan.

Corona menggunakan kakinya untuk menafikan sekali lagi percubaan Van Kessel pada minit ke-56 sebelum Bacuna membuat percubaan jarak jauh yang terkena palang.

Selepas sejam, pemain gantian, Elias Hernandez, hampir menggandakan jaringan Mexico, dengan memotong dari kanan sebelum menyaksikan rembatannya ditepis penjaga gol Curacao, Eloy Room.

Mexico sepatutnya menjamin kemenangan mereka pada minit ke-76 tetapi Gutierrez -- tidak dikawal di bahagian tengah -- menanduk melewati palang.

Mexico akhirnya melengkapkan kemenangan pada minit ke-91 apabila pemain gantian, Alvarez, menyempurnakan gol antarabangsa pertamanya ke sudut bawah gawang.