Pengendali Pahang, Dollah Salleh, menyifatkan penundaan Piala Malaysia ke hujung bulan ini sebagai kelebihan buat Tok Gajah bagi menghadapi kejohanan tertua di Asia Tenggara itu berdasarkan situasi semasa pasukannya.

Dollah ketika ditemu bual wartawan, Haliza Hamzah, bagaimanapun mengakui masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan untuk memastikan pasukannya mampu menjulang satu piala musim ini.

Dollah menganggap tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menunda Piala Malaysia adalah tepat.


Ia berikutan keadaan semasa berikutan kes penularan wabak COVID-19 di negara yang semakin meningkat.

Lebih-lebih lagi tonggak utamanya, Dickson Nwakaeme, Ivan Carlos dan Faizal Rosli masih dihimpit kecederaan.

"Bukan sahaja kacau mental pemain, malah saya juga.

"Ini kerana apabila bila kejohanan tertangguh, latihan kami perlu dirombak.

"Cuma penangguhan ini memberi kelebihan kepada kami daripada segi kecederaan," katanya ketika dihubungi.





Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain, menuntut anak buahnya agar sentiasa bersedia dengan apa jua keadaan yang tidak menentu ketika ini.

"Daripada segi momentum pasti terjejas tetapi pemain perlu sesuaikan diri.

"Ia juga memberi kebaikan terhadap pemain yang dilanda kecederaan. Apa yang penting ialah kesihatan pemain," katanya pula.