Felda United dan UKM FC telah gagal dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat berikutan kedudukan kewangan pelabur baru yang tidak kukuh, demikian disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, kedua-dua pasukan berkenaan tidak layak menyertai dua kejohanan utama Liga Malaysia (Liga-M) anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL), iaitu Liga Super dan Liga Perdana, dan hanya layak untuk menyertai saingan Liga M3 musim depan.

Selepas tamat tarikh akhir penyerahan dokumen pada 30 September lalu, Felda United dan UKM FC telahpun melengkapkan proses berkenaan tetapi terdapat perkembangan negatif berkaitan sokongan korporat dan pendanaan yang memaksa FAM untuk meminta penjelasan dan dokumentasi lebih lanjut selewat-lewatnya pada 19 Oktober lalu.

"Bagi Felda United, biarpun mereka berjaya melengkapkan proses penswastaan FC bersyarikat dan telah pun diluluskan, namun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi satu siaran media pada 5 Oktober 2020 menyatakan bahawa Felda United tidak akan menyertai Liga Super atau Liga Perdana mulai musim 2021," kata kenyataan itu.

Siaran Media: Felda United, UKM FC Gagal Penswastaan FC Bersyarikat; Tidak Layak Sertai Liga Anjuran MFL Musim...

Posted by Football Association of Malaysia on Friday, 30 October 2020


"Susulan itu, pihak pengurusan baru Felda United, iaitu FUFC The Fighters Sdn Bhd, telah mencari pelabur baru tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM mendapati bahawa kedudukan kewangan pengurusan dan pelabur baru itu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021."

Mengulas mengenai UKM FC pula, FAM menambah: "Pada tarikh akhir iaitu 30 September 2020, FAM telah dimaklumkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap urusan penggajian dan kewangan UKM FC.

"Susulan itu juga, pihak pengurusan baru UKM FC, iaitu Varsity Boys Sdn Bhd, telah mendapatkan pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM turut mendapati bahawa kedudukan kewangan Varsity Boys Sdn Bhd melalui pelabur baru itu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021."