Penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, mengakui penstrukturan semula The Bos Gaurus, mengembalikan semula semangat dan keyakinan barisan pemain sedia ada untuk bangkit dan berjuang dalam cabaran Liga Super 2021.

Hafizul ketika ditemubual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, percaya komitmen yang ditunjukkan pihak pengurusan ketika ini berupaya membantu pasukan mengelak terjerumus ke Liga Perdana musim depan.

Ini menerusi pengambilan sembilan muka baru antaranya Charlie Machell dari England, Jad Noureddine, Samir Ayass dari Lubnan, Zubairou Garba, pemain kelahiran Cameroon yang memiliki kerakyatan Indonesia dan Ghislain Konan dari Ivory Coast, pernah beraksi dalam Ligue 1.

Hafizul antara empat pemain senior yang masih kekal bersama Perak selepas enam pemain tonggak meninggalkan pasukan pada jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia.

"Perak dijangka mendapatkan khidmat pemain import yang berkualiti dan antara yang aktif beraksi di rantau Asia Tenggara," kata Hafizul.

"Daripada segi pengalaman, ternyata kami kekurangannya kerana rata-rata pemain yang berhijrah merupakan dalam skuad utama. Saya berharap mereka yang dibawa masuk dapat membantu pasukan."