Penjaga gol sebuah kelab Indonesia, Choirul Huda, meninggal dunia pada usia 38 tahun selepas berlaga kepala dengan seorang rakan sepasukan dalam satu perlawanan Liga 1 Indonesia​, semalam.

Perkara itu disahkan oleh kelabnya, Persela Lamongan, setelah Huda rebah selepas secara tidak sengaja dirempuh rakan sepasukan, Ramon Rodrigues, dalam perlawanan melibatkan Persela dan Semen Padang.

Menurut Dr Yudistiro Andri Nugroho menerusi laman web rasmi Persela, Huda terus dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sana.

Dia juga menambah analisis awal menunjukkan "kemungkinan trauma pada kepala dan leher" manakala perlanggaran itu menyebabkan serangan jantung.

Perlawanan itu tetap disudahkan dengan Persela meraih kemenangan 2-0.

"Terima kasih di atas inspirasi yang anda berikan kepada Persela Lamongan dan sukan bola sepak Indonesia," kata satu kenyataan melalui laman sosial Instagram rasmi Persela.