Juara Piala FA 2019, Kedah, enggan menjadi seperti pasukan Kelantan, iaitu beraksi tanpa gaji apabila pengendalinya, Aidil Sharin Sahak, menuntut Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengotakan janji terlebih dahulu.

"Kalau boleh sebelum perlawanan pertama ini, kami dapat duduk berbincang dengan pihak pengurusan.

"Oleh itu masalah akan lenyap apabila kami menghadapi aksi pertama.

"Sebagai jurulatih, saya mahu pemain betul-betul memberi fokus bagi menghadapi PDRM.

"Ia bukan mudah, Insya-Allah keadaan akan bertambah baik apabila ia diselesaikan," kata jurulatih dari Singapura itu ketika dihubungi wakil Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, empat hari sebelum pasukannya mengharungi aksi Liga Super di Stadium KLFA.

Pertahanan import dari Seberang Tambak, Shakir Hamzah, menganggap usaha mereka ketika ini demi masa depan masing-masing.

"Saya boleh sahaja menamatkan kontrak kerana tidak dapat gaji dan apabila itu terjadi, masa depan saya boleh terjejas walaupun ia berkaitan isu gaji.

"Kami berasa 'bingit' memandangkan perlawanan akan berlangsung dalam beberapa hari lagi.

"Moral pasukan macam dah jatuh," katanya.

Fight back! ??

Posted by FA Kedah on Sunday, August 23, 2020

KFA menerusi kenyataan media pada 4 ogos lalu mengesahkan tunggakan gaji bagi Mac akan diselesaikan sebelum 15 Ogos lalu manakala tunggakan selebihnya, iaitu selama tiga bulan pula akan diselesaikan menerusi rundingan bersama di antara pemain dan pihak pengurusan.

Ternyata, janji KFA sekadar omong kosong apabila pemain dan jurulatih Lang Merah masih belum menerima 60 peratus baki gaji Mac lalu.

"Kami main untuk masa depan, diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan.

"Kalah menang adat permainan, kami tetap mahukan kemenangan dan kami akan tetap buat kerja," kata penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim.