Keputusan Felda United menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga-M) 2021 tampak belum muktamad apabila pejabat pengerusi Felda dipercayai telah memberi lampu hijau untuk pasukan itu bertanding musim depan.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Presiden Felda United, Nik Hasrul Zainudin, bagaimanapun mengambil pendekatan mengunci mulut.

Nik Hasrul hadir ke Wisma FAM di Petaling Jaya, hari ini, bagi menjelaskan situasi semasa mengenai saga The Fighters itu.

Turut dipanggil memberi penjelasan ialah bekas Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

Perjumpaan tergempar itu menimbulkan persoalan tatkala Nik Hasrul hanya membisu mengenai perkara berkenaan.

"Biar dulu, nanti kami umum.

"Nanti kami keluarkan kenyataan," katanya ringkas kepada wakil Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di perkarangan Wisma FAM

Kini, berlaku pula percanggahan pendirian daripada Felda mengenai status pasukan Felda United dalam Liga-M tahun depan.

Pada ketika mereka mengumumkan penarikan diri skuad bimbingan Nidzam Jamil itu musim depan, lembaga pengarah Felda pula bersetuju dengan cadangan penswastaan kelab yang dijalankan oleh Kelab Bolasepak Felda United (FUFC).

Ia dinyatakan menerusi sepucut surat kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, pada 2 Oktober lalu tatkala hanya penggunaan logo dan nama Felda sahaja tidak dibenarkan.




Situasi itu memberi harapan kepada pengurusan terdahulu, FUFC, untuk kembali menyelamatkan The Fighters.

"Kami berserah kepada pengurus Felda.

"Mungkin itu (urusan) di antara FAM dan Felda, tetapi kami harap pengurusan Felda agar mempertimbangkan (penarikan diri) dengan lebih baik dan rasional supaya anak-anak Felda dalam pasukan sebelum ini dapat meneruskan kerjaya mereka sebagi pemain bola sepak.

"Insya-Allah kami mahu ke arah itu dan memang sedang ke arah itu pun (terus bersaing dalam Liga-M) ," kata Afizal.