Penyerang Chelsea, Eden Hazard, telah melabelkan Jose Mourinho seorang “pengurus hebat” dan tahu bahawa bos Manchester United itu dan pemain-pemainnya mahu melunaskan dendam ke atas The Blues dalam pertembungan Piala FA mereka awal pagi tadi.

United berkunjung ke Stamford Bridge untuk pertemuan suku akhir itu lima bulan selepas aib dibelasah 4-0 dalam Liga Perdana oleh Chelsea lebih awal musim ini, satu perlawanan di mana pemain antarabangsa Belgium itu menjaringkan gol.

Hazard, bagaimanapun, berkata dia sentiasa berasakan pemain-pemain Mourinho akan memberi cabaran lebih hebat dengan peredaran musim ini di samping memuji kualiti bekas kelabnya itu.

Sesetengah penyokong Chelsea menyasarkan kehambaran Hazard sebagai salah satu sebab Mourinho dipecat oleh Chelsea musim lalu, khususnya selepas pemain itu menggantikan dirinya sendiri dalam perlawanan terakhir di bawah kendalian warga Portugis itu ketika menentang Leicester City.

Pemain berusia 26 tahun itu, bagaimanapun, tidak terkesan.

“Saya memulakan musim lalu dengan kesakitan – tentunya (itu adalah sebabnya),” Hazard memberitahu The Express mengenai ‘form’ dimilikinya musim lalu.

"Saya masih ingat satu perlawanan tempat lawan di Leicester. Saya mengalami kesakitan pinggul, ia amat menyakitkan.

"Kritikan adalah sentiasa sama. Kamu bermain dengan buruk, kami kalah, pengurus telah dipecat, jadi semua orang menerimanya dengan cara buruk.

"Tapi ini adalah bola sepak. Kamu perlu menanganinya. Saya menanganinya musim ini.

"United, saya katakan, akan lebih kuat dalam separuh kedua musim ini. Mereka memiliki seorang pengurus hebat dan pemain-pemain hebat.

“Mereka mahu membalas dendam untuk Oktober tapi saya tidak pernah menang Piala FA, maka saya mahu menang.

Hazard berasakan ia adalah sebuah pasukan Chelsea yang baru sejak mereka mengadakan perbincangan hati ke hati selepas tewas di tempat sendiri kepada Liverpool, September lalu.

“Selepas kami tewas kepada Liverpool, September lalu, kami berasa bimbang,” tambah pemain sayap itu. “Tapi kami berbincang, pengurus tidak mahu itu berulang.

“Dia mengubah pelbagai perkara. Kami katakan, ‘Kami adalah Chelsea, kami harus berada di puncak, sekarang berhenti bercakap, bercakaplah di atas padang, dan menang perlawanan-perlawanan’. Dan kami lakukan itu.”