Alexis Sanchez menempuhi "tahun trauma, sangat menyeksakan", menurut pengurus Chile, Reinaldo Rueda.

Manchester United meminjamkan pemain dari Amerika Selatan itu kepada Inter sepanjang musim ini tetapi dia hanya berkesempatan membuat sembilan penampilan di Itali sebelum wabak novel koronavirus (Covid-19) menangguhkan kempen ini.

Setelah ditimpa kecederaan ketika mewakili Chile dalam Copa America tahun lalu, dia harus menjalani pembedahan pada Oktober tahun lalu berikutan masalah pergelangan kaki yang dialaminya dalam perlawanan persahabatan menentang Colombia.

Rueda yakin kesukaran yang diharungi pemain di bahagian serangan itu telah dipengaruhi situasi perpindahannya ke United pada Januari 2018 dalam perjanjian pertukaran pemain yang menyaksikan Henrikh Mkhitaryan bergabung dengan Arsenal.

Pemain berusia 31 tahun berkenaan hanya merekodkan tiga gol dalam 32 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama The Red Devils, begitupun Rueda tetapi optimis anak buahnya itu akan kembali menemui sentuhan terbaiknya.

? Entrenamiento en casa Allenamento a casa ? Training at home ?

A post shared by Alexis Sanchez (@alexis_officia1) on


"Ini adalah tahun yang trauma, sangat menyakitkan buatnya. Sejak penghijrahannya daripada Arsenal dan tahun pertamanya di Manchester United," kata pengurus Chile itu kepada SPORT.

"Dia beraksi dalam Copa America di Brazil kemudian mengalami nasib buruk ditimpa kecederaan dalam persahabatan menentang Colombia di Alicante. Pinjaman di Inter pula hampir gagal dan tatkala dia sudah pulihm pandemik semakin merebak.

"Saya mengharapkan semua ini berlalu dengan cepat kerana dia seorang pemain profesional yang hebat, mempunyai sikap yang hebat dalam latihan dan akan terus berjuang tinggi untuk mana-mana kelab yang memberikannya peluang.

"Dia masih mempunyai kudrat untuk tampil di peringkat teratas."

Ditanya mengapa Sanchez tidak dapat mengukuhkan posisinya di Barcelona antara 2011 dan 2014, Rueda, bagaimanapun tidak pasti.

Tambahnya: "Terdapat banyak faktor yang boleh digabungkan sehingga pemain luar biasa tidak berjaya di satu tempat. Setelah menjadi pemain utama dan memainkan peranan penting di tempat lain, kemudian perpindahan ke Barcelona dan hanya memainkan peranan yang lebih kecil akan membawa kesan.

"Inilah yang telah terjadi kepada ramai pemain. Hanya sedikit yang dapat menyesuaikan diri dengan kadar cepat untuk menggalas peranan baru mereka, mungkin Neymar atau Arturo Vidal berhasil. Mereka telah menunjukkan kecerdasan itu.

"Tidak mudah untuk menentukan mengapakah Alexis tidak berjaya di Barcelona."