Korban posisi kegemaran demi karier, itu yang dilakukan pemain skuad Harimau Kumbang, Jafri Firdaus Chew, apabila bertukar posisi daripada penyerang ke pertahanan kanan.

Bekas penyerang Harimau Muda itu menegaskan keputusan itu dibuat untuk memastikan lebih banyak peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

Jafri sudah beraksi dua kali di posisi berkenaan iaitu perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC baru-baru ini.

"Satu tugasan yang berat kerana perlu memastikan pasukan lawan gagal menghasilkan jaringan. Saya akan cuba kekal beraksi di posisi ini dengan pemain import kebanyakan turun sebagai penyerang," kata Jafri.

Sementara itu, penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi, ,mengakui keyakinannya bertambah baik selepas diturunkan buat kali pertama musim ini.

Ia ketika bertemu skuad Jang yang juga perlawanan pertama bekas penjaga gol PKNP FC itu sejak mengalami masalah kesihatan Februari tahun lalu.

Ketika itu, Shafiq terpaksa melupakan bola sepak lebih dua bulan setelah dikesan terdapat darah beku pada saluran darah ke bahagian otaknya.