SARAWAK 2 PULAU PINANG 0

Sarawak menamatkan badi Stadium Negeri dengan bergaya melalui jaringan cantik Awang Kamaruddin Awang Bohan, lima minit selepas dimasukkan, dalam aksi Liga Super, malam ini.


Gol itu dijaringkan dari jarak lebih 30 meter, ketika penjaga gol Pulau Pinang, Amirul Asyraf Mohd Suhaidi, berada tidak berada di posisi yang tepat.

Dengan misi yang tiada pilihan lain kecuali tiga mata, anak-anak buah Pengiran Bala berjuang berhabis-habisan sejak minit pertama sedangkan Pulau Pinang yang dikendalikan Zainal Abidin Hassan bermain secara disiplin taktikal.

Pasukan pelawat, malah, berpeluang mendahului pada minit ke-10 menerusi Brandon Marquee Mcdonald, namun tandukannya sempat disambar pertahanan, Ramesh Lai Ban Huat, tatkala Mohd Shahril Sa'ari sudah tertewas.

Bekas pemain import Sarawak, Mark Andrew Hartmann, hampir menjadi duri dalam daging pada minit ke-19 menerusi tendangan percuma, namun terpaan pantas Shahril berjaya menepis bola keluar.

Skuad Ngap Sayot turut memperoleh peluang baik pada minit ke-23, namun kegopohan Abdul Rahim Abdul Razak pula menafikan harapan lebih 2,000 penyokong Sarawak.

Memasuki babak kedua, rentak permainan kedua-dua pasukan mula berubah.

Pengiran Bala menggunakan sepenuhnya kepantasan kudrat bintang muda, Nur Shamie Iszuan dan Abdul Rahim Abdul Razak, untuk mengucar-kacirkan kubu lawan.

Akhirnya pada minit ke-50, Nur Shamie yang tidak dikawal melakukan tandukan sempurna terhadap tendangan percuma Milos Raickovic untuk gol pertama Sarawak.

Jaringan tersebut terus merentap semangat Pulau Pinang dan aksi perlawanan berubah menjadi keras.

Kesannya pada minit ke-61, Mohd Azrul Ahmad dilayangkan kad merah oleh pengadil, Wan Mohamad Tarmizi, apabila terlibat dalam pertembungan dengan Shamie.

Pada minit ke-67 Awang Kamaruddin masuk menggantikan kapten, Mohd Shahrol Saperi, bagi memberi suntikan kepada pasukan Sarawak untuk beraksi lebih pantas.

Dan hasilnya, dia melarikan bola dari kawasan pertahanan sebelum melakukan lambungan yang mengecewakan seluruh kem Zainal Abidin Hassan.

Dengan kelebihan satu pemain, Sarawak terus mengekalkan momentum untuk kemenangan pertama di tempat sendiri selepas 19 perlawanan.