Khabar angin mengenai beberapa tonggak utama pasukan Kelantan membayangkan hasrat untuk berhijrah ke pasukan lain terus tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.

Lebih buruk, penaja terbesar The Red Warriors, Vida Beauty Sdn Bhd, turut didakwa mengambil keputusan untuk tidak lagi menaja pasukan itu pada musim depan kerana kecewa dengan prestasi dan kemerosotan pasukan.

Dalam laporan Bernama, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md Nor, bagaimanapun, tampil menjelaskan desas-desus berkenaan mungkin sengaja dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa sebarang sebab yang jelas.

Katanya, KAFA tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai sebahagian daripada tonggaknya bakal meninggalkan The Red Warriors bagi menyertai pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

"Saya tidak ada maklumat tersebut, mungkin ia satu khabar angin yang dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya dia tahu tujuan sebenarnya," katanya kepada Bernama, hari ini.

Berita penghijarahan itu mendakwa ia berpunca daripada rasa kecewa dengan sistem dan pengurusan KAFA dalam beberapa perkara seperti pembayaran gaji.

Antara pemain yang disebut bakal meninggalkan Kelantan ialah Wan Zack Haikal Wan Noor yang dikatakan akan berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Badri Mohd Radzi (Melaka United) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (JDT atau Selangor).

Selain itu, Nor Farhan Muhammad (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United atau Kedah), Brendan Gan (JDT) dan Indra Putra Mahayuddin (T-Team).

Khabar angin itu juga menyatakan jurulatih Kelantan, Velizar Emilov Popov, juga bakal meninggalkan The Red Warriors selepas kecewa kerana masih ada 'tangan ghaib' yang mencampuri urusan dalam pasukan itu.