Pemain tengah, Ashri Chuchu, yang kariernya merudum sebelum ini kerana kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika bersama Sarawak beberapa tahun lalu, melahirkan rasa lega kerana semakin mendapat sentuhan sejak bersama Kuala Lumpur pada musim ini.

Ashri menjelaskan bukan sesuatu yang mudah untuknya membuat keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur, tambahan perlu bermain dalam Liga Perdana.

Namun, demi meraih pengalaman serta peluang beraksi lebih kerap, risiko diambil Ashri dan ia setakat ini nampaknya berbaloi kerana dia sentiasa menjadi pilihan dalam kesebelasan utama.

"Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan Kuala Lumpur kerana memberikan saya peluang.

"Saya sedikit mendapat sentuhan di sini. Saya selalu dapat peluang bermain. Seperti kawan-kawan lain, kami mempunyai satu misi, iaitu memburu satu kejuaraan," katanya.

Dia dalam masa sama menasihatkan pemain yang pernah mendapat kecederaan ACL agar tidak cepat berputus asa.

Bagi Ashri, setiap kecederaan yang dialami bukanlah penamat segala-galanya buat kerjaya seseorang pemain bola sepak selagi ada kemahuan yang tinggi untuk berjaya.

"Saya mengakui agak berhempas-pulas selepas mengalami kecederaan ACL. Sekarang ini, baru baik sedikit.

"Untuk rakan yang menerima nasib sama di luar sana, janganlah berputus asa. Teruskan berusaha," katanya.

Ashri dijangka membarisi skuad utama Kuala Lumpur untuk berdepan UiTM di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.