Tonggak baru Manchester City, Sergio Gomez, menggariskan legenda kelab, Vincent Kompany, sebagai watak penting dalam perpindahannya ke Stadium Etihad.

Gomez menyertai City daripada Anderlecht dengan bayaran yang dilaporkan bernilai £11 juta (RM59.4j), semalam, untuk menjadi pembelian keempat Pep Guardiola dalam jendela perpindahan musim panas selepas Kalvin Phillips, Erling Haaland dan Stefan Ortega.

Pertahanan kiri itu memainkan peranan penting untuk kelab Belgium berkenaan yang dibimbing Kompany musim lalu apabila mencatat 49 penampilan dengan 15 bantuan jaringan.

Kompany menikmati kejayaan besar bersama City di antara 2008 dan 2019 dengan memenangi 12 trofi termasuk empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dua trofi Piala FA.

Lantas, pemergian Gomez yang menghabiskan karier mudanya di Barcelona sebelum berkelana ke Borussia Dortmund direstui.

"Saya bercakap dengan Kompany beberapa hari lalu sebaik mengetahui minat City untuk menandatangani saya," kata pemain berusia 21 tahun itu di laman sesawang rasmi kelab.



"Dia sangat gembira bagi pihak saya; dia memberitahu ini akan menjadi langkah besar dalam kerjaya saya dan saya membuat keputusan yang tepat dengan datang ke sini.

"Ia satu langkah besar buat saya. Saya sangat gembira kerana City menunjukkan minat untuk menandatangani saya dan saya akan memberikan yang terbaik di atas padang untuk membuktikan bahawa saya layak berada di sini.

"Saya berharap kami dapat mencapai misi besar bersama-sama.

"Saya fikir saya telah berkembang di setiap langkah karier, saya berharap untuk terus melakukannya di sini. Saya di sini untuk belajar dan membantu pasukan ini dengan sepenuh daya."