Fernandinho dalam kelas tersendiri di Manchester City jika dibanding dengan pemain kegemaran penyokong yang telah meninggalkan Stadium Etihad dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Pemain tengah bertahan itu telah bersetuju melanjutkan kontraknya selama setahun lagi hingga Jun 2022 yang akan melewati ulang tahunnya yang ke-37.

Bercakap selepas berita itu disahkan, Fernandinho berkata perjuangannya masih belum selesai, merujuk kepada kegagalan City menambah mahkota Liga Juara-Juara (UCL) selepas menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) ketiga dalam tempoh empat musim di bawah kendalian Pep Guardiola apabila tewas 0-1 kepada Chelsea di Porto.

12 gelaran sudah dirangkul untuk meletakkannya sebagai salah satu tokoh penting dalam era moden City selain merupakan pemain terakhir yang masih bertahan pada era pra-Guardiola.

Bekas bek tengah The Cityzens, Nedum Onuoha, sempat berkongsi bilik persalinan dengan bintang seperti Vincent Kompany, David Silva dan Sergio Aguero.

Kelab itu merancang untuk mendirikan tugu di luar stadium sebagai simbolik mengenang jasa mereka.

Ketibaan Fernandinho daripada Shakhtar Donetsk pada 2013 ketika dipancing Manuel Pellegrini meletakkannya dalam kategori yang sedikit berbeza berbanding pemain yang pernah membantu mereka mengakhiri kemarau piala selama 35 tahun menerusi kejayaan Piala FA pada 2010-11 sebelum menamatkan penantian selama 44 tahun untuk menjuarai liga pada 2011-12.

"Dia mempunyai pengaruh besar di kelab ini, jumlah perlawanan yang membabitkannya dan watak yang dimainkan hingga hari ini," kata Onuoha kepada Stats Perform bulan lalu.




"Mereka telah memenangi liga sebelum ketibaannya dan dia dibawa masuk untuk memperkasakan City. Orang lain memiliki warisan yang sedikit berbeza kerana mereka tidak berada di City ketika City dominan.

"Dia melebarkan dominasi City. Dia melakukannya, dia bertahan untuk jangka waktu yang lama dan dia memiliki pengaruh besar yang sanga bernilai.

"Saya tidak fikir ramai orang mampu menamakan seorang pemain yang kekal di kelab ini selama 10 tahun selain daripada pemain akademi.

"Jadi, bagi sesiapa sahaja yang dapat kekal selama ini, ini membuktikan bahawa tahap persembahan dan mentalnya hebat dan mereka disukai kelab mahupun peminat.

"Saya tidak fikir tugu akan didirikan khas sempenanya tetapi saya yakin ketika dia akhirnya pergi, orang akan mula membuka mata bahawa dia adalah salah satu pemain terpenting untuk City dalam tempoh gemilang ini."