Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, menegaskan tidak semua penolong pengendali mampu menggalas tugas utama dalam membimbing skuad negara.

Ia susulan wujud spekulasi bahawa penolong jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Brad Maloney, berkemungkinan akan mengambil alih tugas Bojan Hodak sebagai pengendali utama..

Baginya, seorang ketua jurulatih memerlukan pengalaman luas untuk mengemudi sesebuah pasukan, apatah lagi skuad B-19 negara bakal menghadapi Kejohanan AFF B-18 serta kelayakan Kejohanan AFC B-19 tidak lama lagi.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak Hodak yang berakhir Julai depan meskipun dia pernah membawa Malaysia muncul juara Kejohanan AFF B-19 serta mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 tahun lalu.

"Orang yang bekerja dengan dia barulah tahu tentang Maloney. Saya tidak tahu. Namun, dikhabarkan dia seorang jurulatih yang bagus. Ketua jurulatih dan pembantu jurulatih adalah perkara berbeza. Saya harap keputusan tepat dilakukan," ujar bekas pengendali kebangsaan itu.

Sementara itu, Sathianathan percaya ramai jurulatih muda berbakat yang mampu dilantik sebagai penolong jurulatih skuad B-19 kebangsaan yang pasti mampu memberi pendedahan berguna buat mereka.

"Saya berani katakan bahawa banyak jurulatih muda di Malaysia memiliki kualiti. Contohnya, pengendali Terengganu, Nafuzi Zain, serta Nidzam Jamil (Felda United). Mereka mampu menjadi jurulatih yang baik," ujarnya.