Pengalaman penggempur Pahang, Norshahrul Idlan Talaha, menjadi taruhan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, bagi mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan ketika aksi persahabatan terakhir menentang Fiji.

Norshahrul atau cukup dikenali dengan jolokan ‘Mat Yo’ menjadi antara muka lama yang kembali dipanggil selepas kali terakhir membarisi skuad kebangsaan dalam Piala AFF 2016.

Kehadirannya dilihat tidak mengejutkan berdasarkan prestasi yang dipamerkan sepanjang musim ini apabila meledakkan lima gol serta banyak menjadi pencetus kepada jaringan Pahang.

Cheng Hoe juga menambah beliau optimis keputusannya untuk menyenaraikan Norshahrul tepat untuk menjadi pembimbing kepada penyerang muda seperti Shahrel Fikri Md Fauzi dan Safawi Rasid.

"Dalam dua atau tiga aksi terakhir, kami berdepan masalah di bahagian serangan dan penyudah. Jadi, diharapkan Norshahrul dapat menyelesaikan masalah itu.

"Seperti diketahui, ini bukan kali pertama dia bersama skuad kebangsaan dan dia mempamerkan prestasi konsisten bersama Pahang," ujar Cheng Hoe.

Selain Norshahrul, seorang lagi pemain yang turut melakar kejutan setelah disenaraikan adalah pemain tengah Sabah, Azzizan Nordin.

Skuad negara bakal menjalani latihan selama dua hari sebelum bertemu Taiwan pada Jumaat ini di tempat lawan dan akan terbang ke Phnom Penh bagi menghadapi Kemboja, tiga hari kemudian.

"Kami melihat permainan Azzizan dalam aspek bertahan begitu baik selain hantaran-hantaran yang berjaya, sesuai dengan status selaku bekas pemain skuad Harimau Muda.

"Kami dapat lihat pengalaman yang dimilikinya boleh membantu barisan tengah pasukan," tambahnya.