Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, menganggap jurang pengalaman antara anak buahnya dan barisan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) II menjadi faktor kepada kekalahan 1-2 dalam aksi keempat Liga Perdana 2019, semalam..

Keceriaan UiTM yang berjaya memecah kebuntuan dengan gol sulung pada minit ke-12 tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat pantas menyamakan kedudukan selang lapan minit.

Jelas Ismail, pemain sudah mempamer aksi melebihi jangkaannya namun pengalaman dimiliki skuad JDT II apabila turut pertaruhkan pemain muda kebangsaan, Syazwan Andik ternyata menjadi penghalang untuk mereka tersungkur di laman sendiri.

Kebangkitan ditampilkan dalam separuh masa kedua juga belum cukup buat tuan rumah mengejar apabila skuad kendalian Ervin Boban kental bertahan daripada dibolosi.

"JDT II memiliki pasukan yang berkualiti. Ia adalah jurang yang jelas diantara kedua-dua pasukan. Saya berharap kami mampu meneruskan persembahan yang sama untuk perlawanan seterusnya," kata Ismail.

Boban bagaimanapun menganggap kemenangan diraih itu bukan mudah selepas beberapa kali hampir dibolosi apabila momentum ditampilkan anak buahnya tidak konsisten pada babak kedua perlawanan.

"UiTM adalah pasukan yang sukar diatasi di stadium ini. Mereka memiliki corak permainan tersendiri dan dibarisi beberapa pemain yang berkualiti."