Penjaga gol Petaling Jaya (PJ) City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, menjadikan pengalaman berlatih bersama skuad Harimau Malaya sebagai tonik terbaik untuk mengharungi baki aksi kumpulan Piala Malaysia.

Malah, penjaga gol kelahiran Pasir Tumboh itu sedia mengetepikan sentimen kenegerian menjelang pertemuan menentang Kelantan di Stadium Majlis Bandara Petaling Jaya, esok, sekiranya mereka berhajat memperbaiki kedudukan ketiga dalam Kumpulan D.

"Dalam pasukan senior kebangsaan, saya banyak belajar daripada segi kelajuan dan organisasi permainan.

"Ia sangat berbeza (berbanding liga), saya kena banyak belajar seperti keadaan perlawanan yang sangat pantas.

"Jadi saya perlu memberi fokus kepada perlawanan yang lebih teratur," katanya di Nadi Arena.





Bagi penjaga gol Perak pula, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, bertekad merampas semula posisi nombor satu di benteng terakhir.

Diketepikan dalam dua perlawanan pertama, Hafizul Hakim percaya pasukannya mampu melakar kejutan bertemu Terengganu dalam pertembungan Kumpulan B yang turut dihuni Kuching City dan Selangor, Sabtu ini, untuk mencerahkan laluan ke suku akhir.

"Saya sentiasa bersedia walaupun tidak bermain. Saya berikan yang terbaik dalam latihan.

"Jadi saya bersedia kalau diturunkan oleh jurulatih.

"Kami mahu mara sejauh yang mungkin kerana ini peluang terakhir pada musim ini," katanya pula.