Biarpun pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian pertahanan tengah, dia percaya pengalaman Aidil Zafuan Abdul Radzak serta Irfan Zakaria dapat membantu pasukan ketika menghadapi Jordan esok dalam aksi persahabatan.

Menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Jordan esok, Cheng Hoe berdepan sedikit kesulitan di bahagian pertahanan, ketika ketiadaan pemain kelahiran Malaysia-Belgium, Dion Cools ekoran kecederaan, Malaysia mempertaruhkan tiga pertahanan tengah, Aidil, Irfan serta Dominic Tan.

Cheng Hoe menjelaskan dia bersedia untuk menurunkan beberapa pemain di bahagian pertahanan jika berlaku kecederaan.

"Dua perlawanan yang bakal dihadapi akan datang menyaksikan Malaysia hanya akan menurunkan tiga pertahanan tengah buat masa ini. Kehadiran pemain seperti Irfan serta Dominic menjadi taruhan dan terdapat beberapa pemain yang sedia diturunkan di posisi tersebut jika berlaku kecederaan," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, Cheng Hoe enggan memberi tekanan kepada anak buahnya biarpun perlawanan persahabatan itu menjadi aksi penting untuk memperbaiki kedudukan ranking.

Ia juga sekaligus menilai prestasi pemain untuk mempersiapkan pasukan pada mada depan.

"Saya tidak terlalu memberikan tekanan yang tinggi kepada pemain namun perkara paling penting setiap pemain perlu menampilkan prestasi terbaik kerana daripada situ ia membantu kami untuk menilai perlawanan ini.

"Sememangnya, keputusan positif dimahukan kerana bagi memastikan perkembangan pasukan ini sekaligus memberikan keyakinan kepada barisan pemain."