Kumpulan Liga Juara-Juara yang dianggap mudah terbukti sebaliknya buat Manchester United.

BSC Young Boys, Villarreal, Atalanta, tiada nama-nama besar lain, maka seharusnya United melangkah gagah ke peringkat kalah mati, bukankah begitu?

Kekalahan 1-2 dalam perlawanan pertama pastinya membuatkan tafsiran tersebut diragui.

Hanya 13 minit diperlukan oleh Cristiano Ronaldo untuk melakar gol ketiga dalam dua penampilannya -- perlawanan menentang Young Boys tampak seperti menuju ke arah satu lagi kemenangan bergaya buat United.

Malangnya, terjahan kasar Aaron Wan-Bissaka yang menghadiahkan kad merah buat dirinya serta kesilapan 'budak sekolah' Jesse Lingard pada minit terakhir perlawanan menghancurkan kegembiraan mereka.





Kekalahan mengejut ini mengimbau kenangan pahit pada bulan November tahun lalu, di mana United tewas dengan skor serupa, 2-1, kepada kelab Turki, Basaksehir, sebelum akhirnya tersingkir dari Liga Juara-Juara.

Dalam sidang media pasca perlawanan, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, tidak berselindung dalam mengakui bahawa kekalahan ini haruslah dipersalahkan ke atas kecuaian pemain, tiada sebab lain.

"Pemain kami kurang fokus malam ini, sedangkan kami sedar yang satu kesilapan kecil pun mampu meranapkan segalanya.

“Kami melakukan kesilapan serupa sewaktu menentang Basaksehir tahun lalu, di mana kami bolos dua kali gara-gara cuai dalam bertahan ketika serangan balas lawan.

“Kami juga sedar disebabkan kesilapan ini, tiga mata telah terbazir begitu sahaja, tetapi kami bakal berlawan di halaman sendiri dalam dua perlawanan akan datang, maka kami akan fokus terhadap perlawanan tersebut mulai dari sekarang."

Melihatkan reaksi di pelbagai laman sosial, rata-rata peminat menghentam tindakan Solskjaer mengeluarkan Ronaldo pada minit ke-72 dan memasukkan Lingard, punca kekalahan perlawanan ini.

"Pertukaran paling teruk dalam sejarah Liga Juara-Juara dan kelab," ciap seorang peminat di laman Twitter.

"United perlu memburu kemenangan, tetapi Ole mengeluarkan Ronaldo dan memasukkan Lingard? Anda perlukan lebih bukti yang Ole dilanda kekeliruan?" pedas sekali ciapan seorang lagi peminat.

Dalam temu bual bersama akhbar Daily Mail pula, pemain pertahanan tengah United, Harry Maguire, pula pantas mempertahankan rakan sepasukannya.

"Ini adalah lumrah bola sepak, pemain tidak lekang daripada melakukan kesilapan, kami tidak sesekali mempersalahkan Jesse.

“Saya pasti semua pemain di atas padang pada malam ini melakukan kesilapan tersendiri. Jesse akan bangkit daripada episod ini," katanya.






Menurut akhbar The Guardian, sebelum Wan-Bissaka dibuang padang, statistik penguasaan bola United adalah setinggi 66 peratus, namun ia merudum kepada 28 peratus setelah mereka terpaksa bermain dengan 10 orang.

Kekalahan ini tidak layak untuk dilabelkan sebagai satu episod malang semata-mata kerana ternyata masih banyak kepincangan dalam skuad United, terutama di barisan tengah.

United masih mempunyai banyak masa untuk belajar daripada kesilapan tetapi kesudahan muktamad selepas perlawanan ini adalah mereka masih lagi belum gah sepenuhnya dan telah tewas dalam ujian besar pertama musim ini.