Diego Simeone mengegaskan bahawa pengadil telah membuat keputusan yang tepat dengan memberikan tambahan masa 10 minit waktu kecederaan ketika Atletico Madrid meraih kemenangan dramatik ke atas Espanyol, yang dilihat kerap melengah-lengahkan permainan malam tadi.

Atletico hampir berdepan kekalahan pertama dalam LaLiga musim ini apabila Raul de Tomas memberikan Espanyol gol pembukaan di Stadium RCDE - gol pertama mereka sepanjang sembilan perlawanan liga.

Tetapi keputusan Simeone melakukan tiga pertukaran selepas waktu rehat selain memasukkan Joao Felix dan Matheus Cunha dalam babak kedua membuahkan hasil buat pasukan juara bertahan itu.


Yannick Carrasco menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-79 -- gol ke-300 Atletico ke atas Espanyol -- dan membantu jaringan kemenangan Thomas Lemar pada minit kesembilan waktu kecederaan babak kedua.

Enam pertukaran dilakukan dalam babak kedua dan perlawanan juga terpaksa dihentikan seketika untuk memberikan laluan kepada video bantuan pengadil (VAR) menyemak jaringan lebih awal Lemar yang dibatalkan kerana Luis Suarez berada di kedudukan ofsaid.

Penjaring gol Espanyol, De Tomas, tidak berpuas hati dengan tambahan masa 10 minit yang diberikan pengadil tetapi Simeone percaya pendekatan pasukan tuan rumah itu yang gemar melengah-lengahkan permainan telah memakan diri.

"Terdapat tambahan masa yang panjang pada penhujung permainan tetapi saya juga tidak pernah melihat perlawanan dilengahkan sebanyak ini.

"Anda perlu melihat apa yang berlaku sepanjang perlawanan ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Atletico, yang sebelum ini gagal memenangi tiga kunjungan terakhir ke laman Espanyol, akan menentang Porto dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Khamis ini.