Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Salleh, menuntut pengadil Liga Malaysia (Liga-M) agar memahami prosedur operasi standard (SOP) di atas padang selain mengelak kontroversi pergeseran dengan pemain.

Badan induk negara tampak enggan terburu-buru untuk menjatuhkan hukuman ke atas pengadil, Suhaizi Sukri dan Muhammad Nasruddin Tamrin, apabila difahamkan masih melakukan siasatan ke atas dua individu terbabit.

Kedua-duanya dipalit kontroversi apabila didakwa melakukan kesilapan dalam membuat keputusan hingga mengundang perhatian Jawatankuasa Pengadil FAM.





Suhaizi mencuri tumpuan ketika perlawanan Piala FA di antara Sabah lawan Selangor, Sabtu lalu, kerana ia kes melibatkan fizikal dengan pertahanan Gergasi Merah, Fazly Mazlan.

"Pada pandangan saya, tentu ada sesuatu yang tidak kena di antara pengadil dan pemain.

"Ada sesuatu yang tidak kena dengan tangan pemain yang berdekatan Suhaizi.

"Bagaimanapun, sebagai penguatkuasa undang-undang, sebagai pengadil perlawanan, kita perlu bersabar. Walaupun jarang berlaku tapi sudah berlaku.

"Sebagai seorang pengadil, perlu bersabar dan meletakkan keadilan di atas sekali.




"Kalau pengadil tidak berpuas hati dan rasa ia satu perkara yang dilakukan tidak wajar oleh pemain, pengadil perlu gunakan saluran undang-undang. Jika benar pemain tersebut memijak kaki Suhaizi, beliau berhak terus memerintah pemain tersebut (keluar padang). Tapi tindak balas tidak harusnya berlaku terutama oleh seorang pengadil.

"Sepatutnya bagi kad merah, kemudian biar Jawatankuasa Pengadil FAM untuk mengambil keputusan, bukan mengambil keputusan sendiri (sebab) kita ada undang-undang," katanya ketika dihubungi Nadi Arena sebentar tadi.





Dalam perlawanan Liga Perdana, Kelantan FC lawan JDT II diberikan 13 minit masa kecederaan diberikan oleh Nasrudin.

"Kita perlu lihat mengapa masa tambahan boleh diberikan.

"Kejadian itu berlaku sekitar minit ke-70 dan terhenti disebabkan kecederaan yang berlaku hampir 9-10 minit.

"Ini bukan satu perkara yang asing, ia normal bergantung kepada apa yang berlaku dalam masa sebenar.

"Kebanyakkan penonton mungkin menonton (aksi sebenar) selama 35 minit sahaja daripada 90 minit kerana banyak masa terbuang, contohnya sepakan gol dan sebagainya," katanya.