Pengadil dari Perancis, Clement Turpin, terpilih untuk mengendalikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) di antara Real Madrid dan Liverpool, demikian umum Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Liverpool menewaskan Villarreal dalam separuh akhir sementara Madrid mengetepikan Manchester City dengan dramatik untuk mara ke penentuan gelaran kelab utama Eropah itu di Paris pada 29 Mei ini.

Turpin, yang menjadi pengadil antarabangsa sejak 2010, akan merasmikan final UCL pertamanya.

Sebelum ini dia pernah berkhidmat sebagai pengadil keempat dalam pertembungan di Kyiv pada 2018 di mana Madrid mengalahkan Liverpool 3-1.

Turpin, yang mengadili perlawanan akhir Liga Europa musim lalu yang menyaksikan Villarreal menewaskan Manchester United menerusi penentuan sepakan penalti akan disertai rakan senegara, Nicolas Danos dan Cyril Gringore, sebagai pembantunya.




Meneruskan tema Perancis, Benoit Bastien akan menjadi pengadil keempat dan Jerome Brisard pula akan mengetuai pasukan video bantuan pengadil (VAR) yang turut merangkumi pengadil Perancis, Willy Delajod, dan dua warga Itali, Massimiliano Irrati dan Filippo Meli.

Dalam perlawanan akhir Liga Europa di antara Rangers dan Eintracht Frankfurt di Seville pada 19 Mei pula, Slavko Vincic dari Slovenia akan diberi peranan utama di samping rakan senegara, Tomaz Klancnik dan Andraz Kovacic, di tepi garisan.

Sementara itu, pengadil Romania, Istvan Kovacs, akan mengendalikan perlawanan akhir UEFA pertamanya menerusi Liga Persidangan Europa yang menemukan Roma dan Feyenoord di Arena Kombtare, Albania, pada 26 Mei.

Kovacs juga akan disertai oleh rakan senegara, Vasile Florin Marinescu dan Mihai-Ovidiu Artene.