Ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt, kecewa apabila dua mata yang amat diperlukan pasukannya seakan-akan dirompak pengadil selepas terikat 1-1 dengan Kuala Lumpur United FC dalam perlawanan Liga Super di Shah Alam malam tadi.

Ia kerana pasukan tuan rumah itu mendakwa jaringan penyamaan KL City pada penghujung permainan dijaringkan dengan menggunakan tangan oleh pemain veteran, Shukor Adan.

UiTM hampir memperoleh kemenangan pertama musim ini selepas pemain import, Kwon Yong-hyun, menemui jaringan yang ditunggu-tunggu pada minit ke-84 tetapi harapan itu dimusnahkan pengadil, yang membenarkan jaringan kontroversi Shukor pada minit ke-94.

"Secara keseluruhannya, pasukan saya beraksi baik dalam perlawanan ini," katanya seperti yang dipetik Astro Arena.

"Tetapi ia boleh dikatakan juga bahawa keputusan malam ini bukanlah tidak bernasib baik tetapi ia benar-benar tidak adil kerana jaringan yang diperoleh lawan dihasilkan menggunakan tangan.

"Pemain mereka melompat dan menggunakan tangan untuk memasukkan bola ke dalam gol. Kami mempunyai gambar dan video bahawa ia jelas bola terkena tangan dan dibenarkan. Bagi saya, pengadil itu tidak mampu untuk berada dalam Liga Super.

"Kekecewaannya amat jelas kerana kami mendahulu pada lewat permainan dan dalam satu insiden terakhir, mereka menggunakan tangan dan ia dibenarkan.

"Ia merampas dua mata yang amat diperlukan daripada kami," katanya.