Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman, berkata pengadil di Sepanyol melayangkan kad merah "tanpa bersebab" selepas dia dan pemain tengah, Frankie de Jong, diarahkan keluar padang ketika terikat 0-0 dengan Cadiz dalam perlawanan LaLiga di Estadio Nuevo Mirandilla awal pagi tadi.

Harapan Barca untuk meraih kemenangan penting di Andalusia musnah apabila De Jong dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Alfonso Espino pada minit ke-65 walaupun kelihatan memenangi bola dalam situasi itu.

Nasib malang pasukan Catalan itu kian melarat dalam waktu kecederaan apabila Koeman turut diarahkan keluar padang kerana melakukan protes terhadap pengadil, Carlos del Cerro Grande.

Keputusan seri itu bermakna Barca telah keciciran mata dalam tiga daripada lima perlawanan LaLiga pertama musim ini dan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Real Madrid -- pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu telah beraksi lebih satu perlawanan.

Koeman diarahkan keluar padang pada waktu getir, di mana terdapat dua bola di atas padang dan ketua jurulatih berbangsa Belanda itu mendakwa dia dihukum oleh Cerro Grande kerana cuba menyedarkan pengadil itu mengenai situasi berkenaan. Sergio Busquets turut dilayangkan kad kuning kerana menyepak bola lebihan itu ke arah pemain Cadiz yang sedang menguasai permainan.

"Ia bukan kerana kegugupan, ia kerana saya memberitahu pengadil keempat bahawa terdapat bola kedua di atas padang dan pengadil perlu menghentikan permainan. Semua orang kecuali pengadil dapat nampak situasi itu," katanya kepada Movistar.

"Mereka mengarahkan anda keluar padang tanpa sebab. Di negara ini, mereka melakukannya tanpa bersebab. Saya bertanyakan kepada pengadil kerana ia normal. Sikap? Kami mengabaikannya kerana ia bukan masalah kami."


Masa depan Koeman menjadi perdebatan hangat sepanjang beberapa minggu ini dan pengendali itu sedar ia tidak mungkin akan reda sepanjang beberapa hari ke depan.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai keadaan peribadi saya. Ia seperti jika saya menang, saya akan kekal dan jika saya kalah, kelab ini akan mencari jurulatih baru. Itu untuk anda (membuat berita).

"Presiden (Joan Laporta) berada di hotel dan kami ada berjumpa sebelum pulang. Sudah pasti masih ada banyak masa untuk membincangkan isu ini jika kelab ini mahu berbincang mengenainya," tambahnya.

Barca sterusnya akan berdepan Levante di Camp Nou hujung minggu ini.