Arsene Wenger mengulangi keyakinannya bahawa keputusan pengadil menjadi punca kekalahan 5-1 Arsenal ketika menentang Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, Selasa lalu.

The Gunners dibelasah dalam kedua-dua pertemuan mereka dengan juara Bundesliga itu, menyebabkan mereka tersingkir dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara selepas dimalukan dengan agregat 10-2.

Bagaimanapun, mereka bertindak balas dengan mengatasi Lincoln City 5-0 untuk mara ke separuh akhir Piala FA, awal pagi tadi.

Tetapi, selepas kemenangan rutin di Stadium Emirates itu, perhatian kembali kepada salah satu daripada keputusan paling teruk sepanjang tempoh Wenger di utara London, dengan jurulatih kelahiran Perancis itu menjelaskan rasional di sebalik kebanyakan pemain tidak terganggu dengan keputusan menentang Bayern.

"Saya tidak mahu bertaruh, saya tahu ia adalah penting untuk memenangi perlawanan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Pasukan ini menunjukkan prestasi yang baik menentang Bayern dan saya mahu memberi mereka peluang untuk mendapatkan semula keyakinan mereka.

"Pemain tidak mengecewakan saya. Saya fikir kami mempunyai prestasi yang cemerlang selagi kami 11 (pemain) menentang 11."

Menurut Wenger, keputusan pengadil perlawanan, Anastasios Sidiropoulos, mengeluarkan Laurent Koscielny pada minit ke-53 menentukan nasib Gunners.

"Kami rebah pada separuh masa kedua menentang Bayern, tetapi apabila anda bermain dengan 10 orang menentang pasukan berkualiti ... ia bukan satu permainan bola sepak," katanya.

"Saya ingin anda duduk di kerusi saya seketika dan kemudian anda akan sedar ia adalah mustahil untuk memastikan semua orang tenang. Tetapi kami cuba.

"Kritikan itu tidak wajar untuk perlawanan terakhir kami. Saya melihat perlawanan itu tiga kali dan pengadil membunuh permainan itu."

Wenger mengesahkan Alex Oxlade-Chamberlain, yang terpaksa dikeluarkan pada separuh pertama menentang Lincoln, mengalami kecederaan hamstring, tetapi pengurus berkenaan berharap masalah itu tidak serius.