Diego Simeone mengkritik mutu pengadilan ketika pasukan juara bertahan LaLiga, Atletico Madrid, terikat 2-2 dengan Levante awal pagi tadi tetapi enggan menjadikan faktor itu sebagai alasan pasukannya gagal menang.

Matheus Cunha kembali meletakkan Atletico di depan pada minit ke-76 menerusi gol pertamanya bersama kelab itu tetapi Simeone, tidak lama selepas itu, dilayangkan kad kuning kedua kerana pertengkarannya dengan pegawai keempat.

Pengadil, Pablo Gonzalez Fuertes, kemudian mendapati Cunha terpegang bola dalam kawasan penalti menerusi video bantuan pengadil (VAR).

Enis Bardhi -- yang memadamkan jaringan pembukaan Antoine Griezmann menerusi sepakan penaltinya dalam babak pertama selepas Luis Suarez mengasari Ruben Vezo -- menyempurnakan satu lagi sepakan penalti pada minit ke-90 untuk memberikan satu mata berharga buat Levante.

Ditanya mengenai keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kedua itu, Simeone berkata: "Kami perlu memperbaikinya secara sepasukan dan tidak menggunakan pengadil sebagai alasan, gol mereka daripada sepakan penalti, sepakan penalti dalam separuh masa pertama, 200 sepakan ke atas Joao (Felix) yang tiada sebarang tindakan.

"Kami perlu berusaha untuk mencuba keluar daripada momen itu. Satu perkara negatif akan membawa kepada satu lagi dan kami perlu segera menjadi kuat dan membina daripadanya.

"Pasukan ini perlu lebih matang dan tidak menyesal dengan sepakan penalti, atas sepakan ke atas Joao atau atas seberapa banyak kad kuning buat kami.

"Realitinya adalah kami perlu meningkatkan diri kami dan ia merupakan sesuatu yang amat penting.

"Segala yang pengadil lakukan adalah daripada apa yang dia faham mengenai penalti. Anda (wartawan) berada di sini untuk memberikan komen dan melihat kepada peraturan.

"Tiada apa yang akan berubah walau seberapa banyak saya fikir ia sepatutnya berbeza, jadi kami tidak mahu mengulas mengenainya," katanya.

Sebagai rekod, Atletico kini tidak pernah menang sepanjang tiga perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dan ketinggalan lima mata di belakang pendahulu LaLiga, Real Sociedad, walaupun berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.