Insiden penalti kontroversi pada minit ke-70 membabitkan aksi Selangor dan Pahang menjurus kepada penggantungan pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abdul Wahab, dan penolong pengadil dua, Azizul Aziz.

Penggantungan selama dua minggu menjadi hukuman pertama buat pengadil bagi musim ini selepas keputusan pada minit ke-70 buat pasukan Pahang didapati tidak tepat.

Bagaimanapun, pihak Selangor tidak membuat sebarang bantahan berhubung insiden itu, sebaliknya pegawai penilai pengadil telah menghantar laporan sebaik keputusan di atas padang yang diambil oleh Nafeez.

Laporan kedua daripada pegawai penilai pegadil dihantar kepada Jawatankuasa Pengadil selepas tamat perlawanan berserta bukti daripada video perlawanan.

"Sebelum perlawanan berakhir, kami telah menerima aduan daripada penilai pengadil," kata Pengerusi Jawatankuata Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Salleh.

"Selepas perlawanan berakhir, kami menerima klip perlawanan bagi menilainya dengan lebih lanjut."

Situasi itu, bagaimanapun, tidak menjejaskan keputusan perlawanan yang menyaksikan Selangor tewas 3-1 kepada Pahang di Stadium Selayang.