Hasrat PDRM untuk mengukuhkan kedudukan mereka bagi mencari slot ke Piala Malaysia kian tergugat susulan tewas kepada Negeri Sembilan di Stadium Paroi, malam tadi.

Biarpun cuba bangkit dengan meledak dua gol menerusi G. Durrkeswaran dan Azrie Reza Zamri dalam separuh masa kedua, namun ia belum cukup untuk menghalang kejayaan 4-2 skuad Jang.

Kekalahan itu meletakkan skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail tersebut di tangga ke tujuh liga dengan mengumpul 26 mata.

Sehubungan itu, perebutan slot terakhir ke saingan bola sepak tertua di Asia berkenaan kian mendebarkan apabila barisan kendalian bekas tonggak kebangsaan tersebut terpaksa menantikan keputusan membabitkan Kuching City bersama Kelantan United, Jumaat ini, sambil mengharapkan skuad Pantai Timur berkenaan tewas.

"Keputusan malam ini (belum cukup) untuk kami layak (ke Piala Malaysia).

"Untuk menunggu dan mengharap ini amat menyakitkan bagi kami.

"Saya mengharapkan (satu berita) positif buat kami," kata ketua jurulatih The Cops itu selepas perlawanan.