Kurang dari seminggu, juara baru saingan Liga Negara-Negara UEFA (UNL) bakal diketahui tatkala aksi separuh akhir bakal dimulakan awal pagi esok melibatkan empat negara gergasi Eropah.

Berbeza dengan edisi sebelum ini yang dijuarai oleh Portugal, edisi kedua UNL menyaksikan kesemua empat pasukan yang berentap hadir dengan status gergasi atau pilihan utama tatkala ketika saingan dua tahun lalu, Switzerland mencipta kejutan susulan mara ke kelompok empat terakhir.

Itali dan Sepanyol bakal membuka tirai separuh akhir pada awal pagi esok dalam aksi yang pastinya mencetuskan pelbagai senario memandangkan kedua-dua pasukan itu baru sahaja membuat perhitungan di pentas besar sewaktu EURO 2020, tiga bulan lalu.

Lebih memeritkan La Roja, kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti itu juga menjadi salah satu laluan buat anak buah Roberto Mancini mencipta sejarah, menjulang trofi EURO buat kali kedua dalam sejarah serta menamatkan penantian selama 50 tahun skuad Azzurri.






Tidak banyak perubahan dalam skuad Sepanyol tetapi kecederaan yang dihadapi Marcos Llorente tentunya bakal membuatkan Luis Enrique tidak senang duduk memandangkan bekas graduan akademi Real Madrid itu menjadi pertaruhan utama La Roja ketika EURO 2020, lebih-lebih lagi dengan kemampuannya beraksi dalam pelbagai posisi.

Dalam kem Itali, Mancini pasti menagih sentuhan penyudah daripada bahagian depan. Bintang Lazio, Ciro Immobile, kini berkongsi enam gol dalam senarai penjaring terbanyak Serie A bersama penggempur Inter Milan, Edin Dzeko, sambil dua tonggak Juventus, Federico Chiesa dan Manuel Locatelli, menambahkan keyakinan buat Itali susulan peningkatan prestasi bersama The Old Lady. Kedua-duanya mencipta jaringan dalam dua aksi terakhir Juventus, menundukkan Torino dan Chelsea.

Satu lagi perlawanan bakal menyaksikan ulangan semula separuh akhir Piala Dunia 2018 melibatkan Belgium dan Perancis, di mana skuad Red Devils kendalian Roberto Martinez tentunya hadir dengan dua misi berbeza.

Belgium mahu membalas dendam susulan kekalahan 1-0 di Saint Petersburg, sambil Martinez juga sudah pasti berhasrat menghadirkan trofi sulung – atau mungkin terakhir – buat pasukan yang dilihat sebagai generasi emas.





Sejak dilantik selaku pengurus Belgium pada 3 Ogos 2016, Martinez pantas memberi impak kepada pasukan apabila melonjakkan Red Devils ke kedudukan pertama ranking FIFA dan bertahan selama lima bulan. Namun, sehingga kini masih gagal membawa pulang sebarang trofi susulan terkandas di separuh akhir Russia 2018 serta gagal mengatasi Itali di peringkat suku akhir dalam saingan EURO 2020.

Bagaimanapun, kisah berbeza buat Didier Deschamps apabila gagal mendapatkan sentuhan N’Golo Kante susulan positif COVID-19 manakala buat penyerang AC Milan, Olivier Giroud, mungkin memerlukan tempoh lebih lama untuk menyamai jumlah 51 gol yang dimiliki Thierry Henry untuk bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman memandangkan Deschamps memilih untuk memanggil khidmat penggempur Manchester United, Anthony Martial. Ya, Martial.

Secara keseluruhan, saingan separuh akhir UNL edisi kedua ini pastinya menjanjikan aksi bola sepak yang lebih meriah, melihat kepada penampilan empat pasukan gergasi Eropah yang semestinya hadir dengan misi tersendiri tetapi apa yang penting, kesemua pencabar berpegang dengan objektif yang sama, mahu bergelar juara baru.