Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha, menganggap kejayaan menundukkan Sri Pahang FC 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur semalam boleh diibaratkan sebagai memenangi perlawanan separuh akhir dan bersedia untuk membenam Terengganu FC bagi menamatkan saingan di tempat kedua atau ketiga.

Dua jaringan dalam tempoh lima minit melalui sumbangan Endrick Dos Santos dan Danial Ashraf Abdullah memadamkan gol pembukaan Kenny Athiu buat Tok Gajah, sekali gus meletakkan pasukan Harimau Kumbang itu di tangga kedua liga dengan 40 mata -- Kedah Darul Aman FC berkelebihan satu perlawanan dalam tangan meskipun berada di tangga ketiga dengan 39 mata.

Trucha mengakui saingan musim ini ibarat perlumbaan maraton sejak perlawanan pertama, lebih-lebih lagi dengan status mereka sebagai pendatang baru Liga Super.

Pengendali kelahiran Republik Czech itu pada awalnya hanya menyasarkan kedudukan enam teratas musim ini tetapi berdasarkan kedudukan terkini, mereka berpeluang menamatkan saingan di tempat ketiga, bahkan boleh mewakili negara ke saingan Piala AFC seandainya bergelar naib juara.

Menjelang perlawanan terakhir liga menentang Terengganu di Stadium Bandaraya hujung minggu ini, Trucha berkata dalam sidang media: "Saya berkata kepada pemain bahawa perlawanan hari ini (semalam) bagaikan aksi separuh akhir dan kami sudah layak ke final.

"Dan anda tahu bagaimana suasana perlawanan final, ia terbuka, 50-50.

"Perlawanan Penang dan Terengganu boleh menjadi 50-50 tetapi bagi saya Terengganu merupakan pasukan yang besar, jadi ia mungkin akan menjadi 70-30.

"Mereka (Terengganu) memiliki jurulatih yang bagus, pasukan yang berpengalaman dan memiliki pengurusan yang baik. Ia pasti akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami," katanya.