Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha, berpuas hati dengan prestasi barisan Harimau Kumbang yang mengadakan sesi latihan pusat secara kuarantin tetapi dalam masa sama gusar dengan kecergasan anak buahnya.

Bagaimanapun, Trucha masih menantikan kemas kini daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai status Liga Super supaya dapat menentukan kaedah latihan seterusnya.

"Kami tunggu kemas kini daripada MFL terlebih dahulu sebab tidak mahu membazirkan kewangan kelab sebelum menentukan apakah kaedah latihan yang akan dijalankan, sama ada latihan menerusi berpusat, dari rumah dan alam maya.

"Pemain yang tercedera semakin pulih tapi Khairu Azrin Khazali mungkin memerlukan dua minggu lagi. Kami perlu berhati-hati terutama dalam situasi ini.





"Saya tidak nampak banyak perlawanan persahabatan boleh diaturkan (untuk membina kecergasan pemain).

"Usah terkejut kalau kami bergelut dengan kecederaan disebabkan situasi ketika ini," kata pengendali kelahiran Republik Czech itu.