Pasukan ketiga terbaik Liga Super 2021, Penang FC, menamatkan kemarau kemenangan di pentas Piala Malaysia dengan menewaskan naib juara Liga Perdana, Sarawak United hasil jaringan Jafri Firdaus Chew dan Amer Azahar.

Bagi ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang, Tomas Trucha, melabel kemenangan itu sebagai simbolik 'kebangkitan' pasukannya untuk mengharungi musim hadapan selepas timbul desas-desus berlaku pergolakan antara pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan tertinggi pasukan.

Sementara itu, Sarawak United kini mengalih tumpuan ke saingan suku akhir selepas menamatkan saingan kumpulan A selaku naib juara sekaligus menghitung perhitungan bersama Terengganu FC.

Arkitek di sebalik kejayaan Sarawak menempah slot lapan terbaik, E. Elavarasan, mengakui berdepan tugas getir ekoran faktor skuad kendaliannya memiliki purata pemain paling berusia dalam kempen Piala Malaysia di kala lawan mereka mempunyai skuad yang besar.